(Agama)Kelebihan Hari Jumaat Dan Solat Jumaat…

by admin on March 16, 2012

in Info Agama

  • Sharebar

download2 (Agama)Kelebihan Hari Jumaat Dan Solat Jumaat...

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wasallamu `Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Matlamat hidup manusia adalah untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kebahagiaan itu pula akan dijamin datang apabila manusia mahu melaksanakan perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Antara perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang WAJIB ditunaikan ialah SEMBAHYANG. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam SEMBAHYANGNYA; Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia” (Surah al-Mukminun:1-3).

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa kebahagiaan dan kemenangan hidup itu hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang beriman, orang-orang yang menjaga SEMBAHYANGNYA dan orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada perbuatan sia-sia. SEMBAHYANG merupakan salah satu daripada rukun Islam dan merupakan suatu ibadat yang sangat penting dalam Islam. Malah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam menegaskannya dalam sabda Baginda yang maksudnya: “Mahukah kamu Aku memberitahukan bahawa dasar (punca) segala urusan, tiangnya dan puncaknya?”.
Aku menjawab: “Ya! Wahai Rasulullah”.
Lalu Baginda bersabda: “Dasar (punca) segala urusan adalah Islam (dua kalimah shahadat) dan tiangnya ialah SEMBAHYANG dan puncaknya ialah jihad” (HR.at-Tirmidzi).

Dengan demikian SEMBAHYANG merupakan suatu suruhan yang WAJIB ditunaikan oleh setiap orang Islam. Orang yang menunaikan SEMBAHYANG ini akan diberi ganjaran pahala kerana mematuhi suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hidupnya sentiasa mendapat nikmat dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan di Akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam Syurga bersama-sama dengan orang-orang soleh.

KEWAJIPAN SEMBAHYANG JUMAAT
SEMBAHYANG JUMAAT ialah SEMBAHYANG dua rakaat yang dilakukan dengan berjemaah di masjid dalam waktu Zohor pada hari JUMAAT yang didahului dengan dua rakaat khutbah. Jadi jumlah rakaatnya tetap sama dengan Solat Zohor iaitu 4 rakaat.

SEMBAHYANG JUMAAT adalah salah satu diantara KEWAJIPAN yang termaklum berdasarkan al-Qur‘an dan as-Sunnah, orang-orang yang mengingkarinya dihukumkan kufur. Al-Qur‘an menjelaskan mengenai KEWAJIPAN SEMBAHYANG JUMAAT, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan SEMBAHYANG pada hari JUMAAT, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan SEMBAHYANG JUMAAT) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” (Surah al-Jumu’ah:9).

Berdasarkan ayat ini dan ayat-ayat berikutnya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan umat Islam bersegera ke tempat SEMBAHYANG JUMAAT (masjid) sebaik-baik sahaja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja-kerja lain, untuk pergi ke masjid mendengar khutbah dan mengerjakan SEMBAHYANG JUMAAT. Setelah selesai SEMBAHYANG, mereka digalakkan meneruskan usahanya mencari rezeki sambil banyak mengingati Allah dalam segala keadaan. Mereka yang mematuhi ajaran Allah yang demikian itu akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan Akhirat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam juga menjelaskan mengenai KEWAJIPAN SEMBAHYANG JUMAAT tersebut berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya: “SEMBAHYANG JUMAAT adalah hak yang WAJIB ke atas setiap orang Islam dengan (mengadakannya) secara berjemaah kecuali empat iaitu seorang hamba, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit” (HR.Abu Daud dan al-Hakim).

Oleh itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menetapkan hari JUMAAT sebagai hari besar mingguan bagi umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam serta memerintahkan mengadakan satu SEMBAHYANG yang khas menandakan kebesaran hari JUMAAT, bagi menggantikan SEMBAHYANG Zohor.

KELEBIHAN HARI JUMAAT
Di antara kebesaran dan kelebihan hari JUMAAT itu ialah penghulu segala hari. Pada hari JUMAAT telah dijadikan bapa segala manusia iaitu Adam ‘alaihissalam. Pada hari itu juga diberikan satu saat di mana segala doa dan permintaan akan dikabulkan kecuali perkara-perkara yang maksiat sebagaimana Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya hari JUMAAT adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari JUMAAT itu terdapat lima kejadian iaitu:
1. Hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan
2. Baginda diturunkan daripada Syurga ke muka bumi, dan
3. Pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan
4. Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan
5. Hari JUMAAT juga akan terjadinya Hari Kiamat” (HR.Ibnu Majah).

Hari JUMAAT juga adalah hari pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Islam baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam menjelaskan kelebihan orang yang berwuduk di rumahnya kemudian pergi ke masjid untuk menunaikan SEMBAHYANG JUMAAT dalam sabda Baginda yang maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan JUMAAT, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari JUMAAT itu dan hari JUMAAT berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah) telah berbuat sia-sia” (HR.Muslim).

Orang-orang yang meninggal dunia pada hari JUMAAT juga akan mendapat rahmat dan aman daripada segala azab kubur, perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya: “Sesiapa yang meninggal pada hari JUMAAT atau malam JUMAAT, dia akan dicop dengan cop iman dan terpelihara daripada siksa kubur” (HR.al-Baihaqi).

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam juga mengkhabarkan bahawa ganjaran pahala yang besar kepada orang-orang yang pergi berjemaah ke masjid termasuk untuk menunaikan SEMBAHYANG JUMAAT, sabda Baginda yang maksudnya: “Apabila seseorang berwuduk lalu dia memperelokkan wuduknya kemudian dia keluar (pergi) ke masjid, dia tidak keluar kecuali untuk menunaikan SEMBAHYANG, tidak dia melangkah satu langkah kecuali ditinggikan satu darjat baginya dan dihapuskan baginya satu kesalahan, apabila dia BERSEMBAHYANG Malaikat sentiasa memohonkan rahmat ke atasnya selama mana dia masih di tempat SEMBAHYANG dan belum berhadas, Malaikat memohonkan: “Wahai Allah berilah rahmat ke atasnya, wahai Allah sayangilah dia!” (HR.al-Bukhari).

Dalam hadis ini mengandungi beberapa perkara yang penting. Pertama ganjaran pahala yang besar akan diperolehi oleh orang-orang yang pergi berjemaah di masjid dengan sedia berwuduk lalu pergi ke masjid untuk BERSEMBAHYANG. Maka setiap langkahnya akan dikira sebagai penghapus dosa-dosanya dan menaikkan darjatnya. Para Malaikat juga sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat kepada orang-orang sedemikian. Kedua, orang yang berwuduk di rumah itu menggambarkan bahawa mereka sentiasa menjaga ketepatan waktu SEMBAHYANG kerana telah bersedia lebih awal lagi. Oleh yang demikian hari JUMAAT adalah hari yang mengandungi banyak kelebihan dan kebesaran yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam.

HADIR JUMAAT LEBIH AWAL
Sesungguhnya kita dituntut agar menepati waktu SEMBAHYANG dan dilarang melengahkannya. Ini kerana bukan sahaja menepati waktu SEMBAHYANG itu merupakan tuntutan agama malahan orang yang menepati waktu SEMBAHYANG itu akan mendapat ganjaran yang besar. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya: “Orang-orang yang BERSEMBAHYANG pada waktunya dan menyempurnakan wuduknya, menyempurnakan (tegak) berdirinya, menyempurnakan khusyuknya, rukuknya dan sujudnya, maka SEMBAHYANG itupun naik (ke langit) dalam keadaan putih dan cemerlang. SEMBAHYANG itu pun berkata: “Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (memperelokkan kelakuan SEMBAHYANG itu)”. Tetapi sesiapa yang BERSEMBAHYANG tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula memperelokkan wuduknya, khusyuknya, rukuknya dan sujudnya, maka SEMBAHYANG itupun naik (ke langit) dalam keadaan hitam legam sambil berkata: “Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku”. Sehinggakan setelah SEMBAHYANG itu berada di suatu tempat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, lalu iapun dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak-koyak kemudian dipukulkanlah ke mukanya” (HR.at-Thabarani).

Ulamak Syafi‘e juga sepakat mengatakan bahawa SUNAT (mustahab) menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari JUMAAT. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam menjelaskan tentang kelebihan orang-orang yang menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari JUMAAT, Baginda bersabda yang maksudnya: “Apabila datang hari JUMAAT, maka setiap pintu masjid ada Malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para Malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah). Perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah bagaikan orang yang menyembelih hadyi (korban) seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telor” (HR.Muslim).

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas kepada kita bahawa orang yang menghadirkan diri ke masjid lebih awal pada hari JUMAAT adalah sangat dituntut dan mempunyai ganjaran dan balasan yang besar. SEMBAHYANG tepat pada waktunya juga dianggap sebagai memelihara SEMBAHYANG kerana jika dilenggahkan waktu SEMBAHYANG tersebut, kemungkinan akan tertinggal atau terlepas waktu yang ditentukan itu. Malah Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah menjelaskan bahawa antara sifat-sifat orang yang mendapat kebahagiaan itu ialah orang-orang yang tetap mengerjakan SEMBAHYANG pada waktunya dengan cara yang sempurna. FirmanNya yang tafsirnya: “Dan mereka yang tetap memelihara SEMBAHYANGNYA” (Surah al-Mukminun:9).

Kesimpulannya, SEMBAHYANG dengan khusyuk dan tawadhuk serta menjaga dan memelihara waktu adalah satu KEWAJIPAN. Maka adalah DISUNATKAN kepada orang yang WAJIB atasnya SEMBAHYANG JUMAAT supaya menghadirkan diri lebih awal ke masjid bagi mengelak daripada terlepas pahala atau fadhilat datang awal ke masjid sepertimana maksud hadis di atas. Lambat hadir yang mendatangkan kerugian itu termasuklah hadir setelah imam naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah. Hal ini telah diceritakan dalam hadis di atas yang menyebutkan yang maksudnya: “Apabila imam telah duduk (di atas mimbar) para Malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah)”.

Ini bererti para Malaikat yang khusus bertugas mencatat kelebihan hadir awal ke masjid pada hari JUMAAT itu menghentikan catatannya kerana hendak sama-sama mendengar khutbah. Orang yang sedemikian hanya akan tersenarai dalam orang-orang yang hadir JUMAAT sahaja, tetapi tidak tersenarai dari orang-orang yang mendapat kelebihan yang seolah-olah berkorban seekor unta atau sapi seperti yang disebut dalam hadis di atas.

Penutup
Dari itu sayugialah kita datang awal ke masjid pada hari JUMAAT itu dan ketika dalam perjalanan menuju ke Masjid hendaklah dengan khusyuk dan merendah diri. Apabila sampai di masjid jangan lupa berniat iktikaf ketika hendak masuk ke masjid. Dengan datang awal itu juga kita berkesempatan melakukan perkara-perkara SUNAT yang lain seperti SEMBAHYANG SUNAT Tahiyyat al-Masjid, membaca Al-Qur‘an, beristighfar, berzikir dan berdoa, kerana pada hari JUMAAT itu mempunyai kelebihan dan kebesaran yang banyak dan ganjaran yang berlipat ganda.

RENUNGAN: IBADAT SEMBAHYANG
SEMBAHYANG adalah tiang kepada agama Islam
SEMBAHYANG adalah tanda kepada orang yang beriman
SEMBAHYANG merupakan salah satu daripada Rukun Islam
SEMBAHYANG merupakan ibadat yang sangat penting dalam Islam..

SEMBAHYANG menyebabkan dimasukkan ke Syurga bersama dengan orang-orang soleh
SEMBAHYANG diberi ganjaran pahala kerana mematuhi suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala
SEMBAHYANG antara perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang WAJIB ditunaikan
SEMBAHYANG menjadikan hidup sentiasa mendapat nikmat dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala..

SEMBAHYANG JUMAAT dapat menggantikan SEMBAHYANG Zohor
SEMBAHYANG JUMAAT adalah hak yang WAJIB ke atas setiap orang Islam
SEMBAHYANG JUMAAT dapat menaikkan darjat seseorang yang pergi ke masjid
SEMBAHYANG JUMAAT jika diingkari akan KEWAJIPANNYA boleh dihukumkan kufur..

SEMBAHYANG JUMAAT merupakan KEWAJIPAN berdasarkan al-Qur‘an dan as-Sunnah
SEMBAHYANG JUMAAT menandakan kebesaran hari JUMAAT bagi umat Nabi Muhammad
SEMBAHYANG JUMAAT menghapus dosa yang ada di antara hari JUMAAT itu dan hari JUMAAT berikutnya
SEMBAHYANG JUMAAT dikecualikan pada orang kafir, perempuan, kanak-kanak, orang gila, orang musafir, hamba abdi dan orang sakit..

Para Malaikat sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat kepada orang yang SEMBAHYANG JUMAAT
SUNAT lebih awal menghadirkan diri ke masjid sebaik sahaja mendengar seruan azan untuk SEMBAHYANG JUMAAT
Diberi ganjaran pahala yang besar kepada yang lebih awal menghadirkan diri ke masjid untuk SEMBAHYANG JUMAAT
Bagaikan menyembelih korban seekor unta bagi yang lebih awal menghadirkan diri ke masjid untuk SEMBAHYANG JUMAAT..

Kemudian bagaikan menyembelih korban seekor sapi bagi yang lambat menghadirkan diri ke masjid untuk SEMBAHYANG JUMAAT
Seterusnya bagaikan menyembelih korban seekor kambing bagi yang lambat menghadirkan diri ke masjid untuk SEMBAHYANG JUMAAT
Selanjutnya bagaikan menyembelih korban seekor ayam bagi yang lambat menghadirkan diri ke masjid untuk SEMBAHYANG JUMAAT
Dan akhirnya bagaikan seperti bersedekah sebiji telor bagi yang lambat menghadirkan diri ke masjid untuk SEMBAHYANG JUMAAT..

Lambat menghadirkan diri ke masjid mendatangkan kerugian kerana terlepas pahala atau fadhilat datang awal ke masjid untuk SEMBAHYANG JUMAAT
Lambat menghadirkan diri ke masjid mendatangkan kerugian kerana terlepas mendengar dua khutbah yang menjadi syarat SAH SEMBAHYANG JUMAAT
Lambat menghadirkan diri ke masjid mendatangkan kerugian kerana Malaikat menghentikan catatannya untuk mendengar khutbah SEMBAHYANG JUMAAT
Lambat menghadirkan diri ke masjid yang jadi pilihan ramai jelas mendatangkan kerugian kerana ianya boleh diatasi dengan mengurus masanya secara berkesan!

Sumber:Bicara Ad-din

pixel (Agama)Kelebihan Hari Jumaat Dan Solat Jumaat...

Respon Anda? Kongsikan Ulasan Bernas Anda & Berdiskusi Dengan Pembaca Lain Di sini

Previous post:

Next post: